Monday, March 1, 2010

Murid OKU dakwa didera ustaz

Murid dakwa didera ustaz

KUALA LUMPUR: “Saya cuma ingin tahu kenapa guru itu buat saya begini?,” kata Zulhilmi Hakim, 12, yang juga murid Orang Kurang Upaya (OKU) apabila ditanya mengenai kesan lebam di pipi dan kedua-dua lengannya.

Zulhilmi yang menghidap ‘dyslexia’ memberitahu guru pendidikan Islam di sekolahnya itu akan mencubitnya apabila dia tidak dapat membaca dan ia berlaku sebelum cuti Tahun Baru Cina dan selepas sekolah dibuka selepas perayaan itu.

Ayahnya, Ismail Humaidi Ahmat, 45, berkata dia menyedari kesan lebam itu selepas menjemput anak kedua daripada tiga beradik itu dari sekolah, di Subang Jaya, jam 3 petang, Isnin lalu.

“Ahmad (nama timangan Zulhilmi Hakim) hanya mendiamkan diri apabila ditanya kesan itu. Setiba di rumah di Bandar Kinrara, isteri saya, Che Zaini Ahmad, 45, memujuknya lagi.

“Selepas dipujuk berulang kali, baru anak saya mengatakan Ustaz ‘buat’ dia,” katanya. Humaidi berkata, sehari selepas itu, ada bertemu guru pendidikan Islam yang dimaksudkan anaknya itu di sekolah berkenaan, tetapi cikgu terbabit menafikan perkara itu.

Menurutnya, guru berusia lewat 30-an itu mendakwa anaknya kemungkinan terjatuh ketika di rumah. Malah, katanya, seorang guru di sekolah terbabit mencadangkan dia mendapatkan bantuan pengamal tradisional kerana kemungkinan kesan lebam di tangan Zulhilmi kesan ‘gigitan hantu’.

Geram dengan tindak balas pihak sekolah, Humaidi membawa anaknya ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum doktor mengesahkan lebam di lengan dan pipi anaknya akibat perbuatan seseorang, bukannya terjatuh.

Sehubungan itu, katanya, dia membuat laporan di Balai Polis Subang Jaya. “Doktor mengesahkan ia bukan kesan jatuh. Bagaimanakah guru itu boleh memberikan pandangan sedemikian?,” katanya. Katanya, dia dan isteri juga merancang melanjutkan kes itu ke pengetahuan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) berdekatan.

“Anak saya ialah insan istimewa, didik dengan berhemah dan sabar. Jika ada kesilapan janganlah sampai hingga ke tahap mendera. “Saya bimbang kerana pelajaran anak saya kini semakin menurun. Patutlah jika ada hari persekolahan jadualnya ada kelas mata pelajaran agama, dia berat hati nak sekolah” katanya.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan SS 17, Ashari Bero ketika dihubungi berkata pihak pentadbiran sekolah akan membuat penyiasatan terperinci mengenai kes terbabit. Ketua Polis Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar, turut mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

No comments:

Post a Comment