Saturday, March 13, 2010

Kejutan kali kedua

Kejutan kali kedua

KUALA LUMPUR: Sehari selepas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan kelmarin, pelajar cemerlang Nur Hidayatul Nabila Azmi, 18, menerima kejutan kedua apabila dikunjungi selebriti popular, Aznil Nawawi dan Din Beramboi di rumahnya di Flet Sri Melaka, Cheras di sini semalam.

Dalam pertemuan sejam itu, Nabila berpeluang beramah mesra dengan dua penyampai radio Era FM yang turut berkongsi kegembiraan atas keputusan cemerlang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bintang Selatan itu mendapat 11A.

Nabila berkata, dia tidak menyangka ‘kejutan’ dibuat Aznil bersama Din sanggup meluangkan masa datang ke rumahnya. Malah, dua selebriti itu menyampaikan hadiah berupa komputer riba.

“Sebelum ini saya menonton mereka di TV. Saya gembira kerana mendapat nasihat daripada mereka.

“Apapun, kejayaan ini adalah rezeki dan hadiah buat kedua ibu bapa saya yang banyak berkorban membesarkan saya. Perancangan saya mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Universiti Malaya.

“Saya tetap berbangga dengan kredibiliti universiti tempatan. Saya berharap dapat membalas jasa ibu bapa dan mencapai cita-cita sebagai doktor,” katanya.

Aznil berkata, perancangan bertemu Nabila dibuat selepas membaca berita kecemerlangan pelajar itu menerusi akhbar. Pada pertemuan itu, Aznil memberi kata semangat pada Nabila terus berusaha dalam pelajaran.

“Kepayahan dilaluinya dapat dijadikan contoh pada pelajar lain. Ini bukan tujuan bermegah tetapi membuktikan anak bukan keluarga berada mampu mencatat kejayaan cemerlang.

“Di Era, kami sebenarnya turun padang sejak hari pertama peperiksaan SPM dijalankan hingga saya berkongsi debaran menantikan keputusan diumumkan.

“Saya tersentuh dengan cerita kejayaan pelajar lain dilaporkan menerusi akhbar termasuk golongan orang kurang upaya (OKU),” katanya.

No comments:

Post a Comment