Tuesday, December 28, 2010

Guru mana tak mahu RM500 sebulan

Tawaran Pakatan Rakyat (PR) untuk menaikkan imbuhan sebanyak RM500 kepada warga pendidik merupakan sesuatu yang menarik. Hal ini kerana tawaran tersebut membabitkan kira-kira 400 ribu guru. Sudah pasti sebelum membuat tawaran ini pihak PR telah membuat kajian kerana wang yang diperlukan untuk tujuan tersebut mencecah RM3.2 bilion setahun.

Tawaran ini bolehlah disifatkan sebagai serampang dua mata – politik dan tanggungjawab. Dari sudut politik, seperti yang dinyatakan oleh bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Khir Toyo tawaran kenaikan gaji guru sebanyak RM 500 ini boleh mempengaruhi rakyat untuk memberi undi kepada PR.

Menurut Dr Khir, tidak mustahil sebahagian besar mereka akan menilai tawaran tersebut dengan serius. Hal ini kerana kebanyakan guru mempunyai pegangan politik yang agak bebas. Tidak ramai yang membuat keputusan menyokong mana-mana parti politik sejak awal lagi.

Tambahan pula kos sara hidup yang kian meningkat yang diakibat oleh pemotongan subsidi oleh kerajaan. Isu boleh menjadikan sebahagian besar rakyat menerima sahaja apa yang ditawarkan oleh Pakatan biar pun Dr Khir mendakwa PR mungkin tidak mampu melaksanakan sepenuhnya. Pada masa yang sama alasan pemotongan subsidi pula sekadar melepas batuk di tangga.

Dari sudut tanggungjawab pula, Ahli Jawatankerja Kerja PAS Pusat, merangkap Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad menyatakan bahawa imbuhan RM500 untuk guru adalah suatu penghargaan kepada warga pendidik dan bukanlah suatu tindakan politik murahan bagi meraih undi mereka pada PRU akan datang.

Pernyataan Dr Dzulkefly ini ada asasnya. Jika imbuhan ini bersandarkan semata-mata kepada politik, PR sepatutnya menawarkan imbuhan yang sama kepada kakitangan kerajaan yang lain. Namun, PR menyedari bahawa bidang perguruan bukanlah suatu kerjaya seperti kerjaya lain. Tugas mendidik adalah tugas membentuk generasi masa depan.

Menurut Dr Dzulkefly lagi, membentuk modal insan tidak akan dapat dilakukan dalam tempoh yang singkat. Prosesnya memakan masa, wang ringgit dan pengorbanan dan tugas ini terpikul di atas bahu para guru. Hal ini kerana dari gurulah maka lahirnya ahli politik, ulama, jurutera, doktor, kerani, pegawai tentera dan sebagainya.

Jika PR berniat menawarkan imbuhan ini atas dasar politik murahan dan kepentingan peribadi untuk menang PRU, lebih baik tawaran ini diperluaskan kepada semua kakitangan kerajaan, warga emas, penganggur, dan sebagainya.

Oleh sebab itulah pihak lain selain guru ditawarkan imbuhan dalam bentuk lain seperti penghapusan tol, skim warga emas dan lain-lain.

Hakikatnya, kenaikan imbuhan sebanyak RM500 itu terlalu kecil jika dibandingkan dengan peranan dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh guru. Di sekolah, guru bukan sahaja mengajar anak-anak muridnya, malah mereka juga bertindak sebagai pegawai tadbir, kerani, atlit, imam malah kadang kala menjadi tukang kebun.

Namun, oleh sebab tawaran ini datangnya daripada PR, maka tidak dapat tidak akan dipolemikkan oleh ahli-ahli politik. Pihak kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan yang kini diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin wajar melihat tawaran ini dengan serius. Mungkin beliau memandang tawaran ini sebagai sesuatu yang terpencil.

Namun, ingatan Dr Khir bahawa kesilapannya kurang mengambil kira tawaran PR dalam PRU yang lalu menyebabkan Selangor terlepas harus menyedarkan Muhyiddin. Dalam hal ini, bukan soal wang ringgit semata-mata, Muhyiddin mesti melihat permasalahan warga pendidik dalam kerangka yang lebih luas.

Banyak permasalahan dalam bidang pendidikan yang masih belum selesai. Antara isu yang paling besar ialah pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), isu kekurangan guru dalam dalam mata pelajaran kritikal, isu pemansuhan peperiksaan utama, isu disiplin pelajar, isu bantuan sekolah agama, isu elaun dan sebagainya.

Namun, walaupun dihimpit dengan pelbagai isu, para guru di Malaysia tidak pula mengadakan demontrasi atau mogok. Mereka tetap meneruskan tugas yang diamanahkan.

Harus diingat, guru juga manusia seperti insan-insan lain. Ada hati dan perasaan. Tidak selamnya kepala mereka boleh dipijak, ditolak ke kiri dan kanan. Diam bukan bererti setuju, tetapi mungkin memberi peluang untuk pihak lain membetulkan kesilapan. Tetapi jika kesilapan itu diulang-ulang, seolah-olah para guru ini seperti robot, anda silap. Kesabaran manusia ada hadnya. Pengorbanan juga ada batasnya.

Jika pengorbanan yang dicurahkan selama ini, tidak pernah dipedulikan. Malah dijadikan kambing hitam pula atas kepincangan sosial masyarakat. Maka, akan sampai ke suatu tahap bahawa ada suatu lagi pilihan yang lebih baik, maka siapakah yang sanggup menolaknya. Mungkin nilai RM500 itu kecil, tetapi bakal membawa perubahan yang besar terhadap masa depan generasi anak-anak kita.

No comments:

Post a Comment