Tuesday, September 14, 2010

Roslan Ross Teruja Berhari Raya

Roslan Ross Teruja Berhari Raya

Daniel memohon kemaafan ayahnya di Hari Raya. - Foto THE STAR Oleh LOW LAY PHON
AIDILFITRI disambut meriah di Malaysia memandangkan majoriti rakyat negara ini adalah umat Islam. Berminggu-minggu sebelum perayaan tersebut menjelma, suasana persiapan menjelang Aidilfitri telah dirasai.
Pusat membeli-belah akan mengadakan jualan murah dan dihiasi dengan perhiasan secara besar-besaran. Lagu-lagu raya juga akan diputarkan di radio dan di televisyen. Rancangan-rancangan yang berkisarkan Aidilfitri akan ditayangkan.
Di kesempatan ini juga semua warga kota mengambil peluang untuk balik ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri bersama-sama sanak saudara dan kaum keluarga.
Namun begitu, terdapat juga golongan kurang bernasib baik ketika menyambut Syawal seperti fakir miskin yang terpaksa menyambut kemeriahan Aidilfitri dalam serba kekurangan, pelajar yang berada diperantauan dan tidak ketinggalan warga asing yang berada di negara ini untuk menyambut hari raya.
Kesempatan Mingguan mStar bertemu dengan seorang warga Australia yang telah menetap di Malaysia hampir 20 tahun, baginya berhari raya di Malaysia bukan lagi perkara asing.
Malah, menurut Roslan Ross Abdullah, kedatangan Ramadan dan Syawal sememang dinanti-nantikan setiap tahun untuk disambut meriah bersama keluarga dan rakan-rakan di sini.
Islam sejak 19 tahun lalu
Menyingkap cerita dia mengenali dan memeluk Islam, Roslan Ross atau nama asalnya Ross John Clement memberitahu, dia memeluk Islam 19 tahun lalu setahun selepas datang ke Malaysia.
Katanya, sebelum datang ke Malaysia pada tahun 1990, dia bekerja di sebuah hotel di Bangkok, Thailand sebagai chef.
“Kedatangan saya ke Malaysia pada awalnya hanyalah untuk melancong di Pulau Pinang tetapi terus jatuh cinta terhadap keunikan, keindahan dan keramahan rakyat Malaysia,” katanya yang fasih berbahasa Melayu dengan loghat utara.
Berasal daripada Tasmania, Australia, bapa tunggal kepada seorang cahaya mata ini memberitahu, beliau memilih untuk memeluk Islam selepas menemui jawapan terhadap semua persoalan yang menjadi tanda tanya dalam dirinya selama ini.
“Semuanya tidak lengkap dan saya menyedari tiada apa yang benar melainkan Allah. Sejak sekian tahun lamanya, kerap kali saya mencari kebenaran yang hakiki.
“Bertahun-tahun lamanya pencarian saya untuk kebenaran, dan mempelajari beberapa ajaran agama lain,” katanya yang pernah menjadi penganut Kristian dan Buddha.
Roslan yang telah menjangkau usia 47 tahun berkata, Islam telah memberinya satu perspektif baru dan menjadikan hidupnya lebih bermakna.
Bercerita lanjut mengenai kehidupannya, Roslan memberitahu, selepas memeluk Islam dia mendaftarkan diri di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) untuk mendalami mengenai agama Islam yang masih baru padanya ketika itu.
“Pada tahun berikutnya saya berpindah ke Alor Setar untuk bekerja di sana dan di situ juga saya bertemu dengan Hj Ahmad di Masjid Derga, Alor Setar dan sejak itu saya banyak menimba ilmu mengenai Islam daripadanya sehingga kini,” katanya.
Baginya, masih banyak lagi yang perlu dipelajari mengenai Islam dan apabila merasa ragu dalam satu perkara, Roslan memberitahu dia sentiasa akan merujuk kepada sunnah Rasulullah S.A.W dan menjadikannya sebagai panduan.
“Pengembaraan saya dalam Islam akan berterusan, dan saya sentiasa mengharapkan pengalaman baru,” ujarnya yang kini menetap di Kuala Lumpur.
Pengalaman berpuasa, berhari raya
Rancak berbual mengenai kehidupannya sebagai seorang Islam, Roslan memberitahu, pada tahun pertama dia memeluk agama itu, pengalaman berpuasa bukanlah semudah yang disangka.
“Tahun pertama, boleh dikatakan setiap hari saya hanya berpuasa separuh hari sahaja kerana tidak tahan namun banyak saya pelajari pada tahun berikutnya iaitu berpuasa bukan sahaja menahan lapar dan dahaga tetapi juga untuk menahan nafsu, kesabaran, menambah amal ibadat dan sebagainya,” ujar bapa tunggal kepada seorang cahaya mata ini.
Menurutnya, Ramadan telah mengajarnya pelbagai pengajaran dan setiap hikmah dan mukjizat yang terdapat dalam bulan itu dijadikan sebagai panduan dan peluang mengejar pahala.
Bertugas sebagai seorang chef, turut memberi kelebihan kepada dirinya menyediakan pelbagai juadah enak di bulan puasa dan hari raya khas buat keluarga dan jiran tetangga.
“Itu adalah keseronokan pada Ramadan, kita saling tolong menolong dan saling bertukar juadah dan ia bukan suatu pandangan biasa di tempat asal saya,” ujarnya yang mahir dalam pembuatan pastri.
Menggemari hidangan seperti lemang dan rendang sebagai juadah Hari Raya, katanya, keakraban dan kesopanan masyarakat Melayu beragama Islam di negara ini turut mendorong dirinya untuk memeluk dan mendalami agama itu.
Bercerita mengenai sambutan Hari Raya, Roslan memberitahu, pada pagi Aidilfitri dia dan jiran tetangga akan sama-sama menunaikan solat sunat Aidilfitri sebelum berkunjung ke rumah jiran dan rakan taulan.
“Antara amalan yang saya pelajari sepanjang memeluk Islam pada Hari Raya Aidilfitri ialah amalan berziarah dan ia bertepatan dengan suruhan Islam itu sendiri. Ia sangat menyeronokkan dan dapat mengeratkan silaturahim sesama Islam,” katanya yang menyambut lebaran di Kuala Lumpur tahun ini.
Baginya hari raya adalah hari untuk bergembira, bermaaf-maafan dan hari untuk mengeratkan tali persaudaraan di kalangan umat Islam di samping meraikan kejayaan beribadah kepada Allah.
Katanya lagi, dia juga tidak lupa untuk memberikan duit raya kepada kanak-kanak yang datang berkunjung ke rumahnya dan seronok dapat melihat kanak-kanak tersenyum lengkap berbaju Melayu dan berbaju kurung.
“Tiada apa yang lebih indah daripada melihat semua kaum keluarga dan sahabat handai berkumpul pada hari raya dan melihat semua kanak-kanak bergembira,” ujarnya sebelum mengakhiri perbualan.


Daniel Tidak Kekok Jalani Ibadah Puasa

Daniel membantu ayahnya mengenakan butang baju Melayu. - Foto THE STAR Oleh LOW LAY PHON
TIDAK pernah merasakan dirinya berbeza dengan orang lain, Mohd Daniel Johan Roslan Ross memberitahu dia bertuah dilahirkan sebagai seorang Islam dan tidak pernah kekok untuk berpuasa.
Menurutnya, walaupun datang dari keluarga campur, dia bersyukur dilahirkan dan dibesarkan dalam persekitaran sebagai seorang Islam dan ibu bapanya tidak pernah mengabaikan soal agama dan sering memberi tunjuk ajar kepadanya.
“Ayah sendiri sebelumnya bukan Islam dan ilmu yang dipelajari mengenai Islam diberikan pula kepada saya,” katanya ketika ditemui Mingguan mStar di sini baru-baru ini bersama bapanya.
Malah katanya, persekitaran tempat tinggal telah mengajarnya bukan sahaja mengenai agama itu tetapi juga mengenai budaya dan adat resam orang Melayu.
Mohd Daniel bagaimanapun memberitahu, dia tidak pernah melihat dirinya berbeza dengan rakan-rakannya yang lain walaupun adakalanya ada di kalangan rakannya menganggap dirinya pelik.
Namun itu tidak menjadi halangan kepadanya dan dia tetap pergi ke sekolah bersama kawan-kawannya, bermain, pergi ke masjid dan sebagainya.
Menceritakan mengenai pengalaman berpuasa, Mohd Daniel berkata, seperti kanak-kanak lain, dia juga mengalami kesukaran ketika berpuasa semasa kecil tetapi telah terbiasa dengan keadaan sekeliling.
“Saya dilahirkan di Perlis dan dibesarkan di perkampungan orang Melayu di Alor Setar, jadi saya tidak pernah rasa terasing atau kekok apabila tibanya bulan Ramadan. Malah rasa seronok,” katanya yang gemar menolong ayahnya memasang pelita disekeliling rumah apabila tiba bulan Ramadan.
Remaja berusia 16 tahun itu memberitahu, selain bubur lambuk, juadah kegemarannya ketika berbuka adalah ayam percik dan air tebu sebagai penghilang dahaga.
Kini telah berhijrah ke kota Kuala Lumpur bersama bapanya, Mohd Daniel berkata, Hari Raya pada tahun ini tetap disambut meriah walaupun akan merindui kampung dan rakan-rakan di sana.
“Berhari raya di Kuala Lumpur mungkin tidak sama seperti di kampung tetapi ini juga adalah pengalaman baru,” katanya merancang untuk balik ke kampung dalam masa terdekat.

No comments:

Post a Comment