Mualaf bunuh ustazah, anak didakwa
SEREMBAN - Jiran kepada seorang ustazah dan anaknya yang ditemui mati di rumah sewa mereka di Port Dickson dekat sini dihadapkan ke Mahkamah Majistret semalam atas pertuduhan membunuh dua beranak itu pada 2 September lalu.
Tertuduh, Ali Tan Abdullah, 34, bagaimanapun tidak membuat sebarang pengakuan terhadap dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret M. Mageshwary.
Mengikut pertuduhan, Ali Tan didakwa membunuh Norliza Ishak, 35, di rumah bernombor B5-1-09B, Flat Win Min, Pasar Baru, Port Dickson antara pukul 3.15 petang pada 2 September 2010 hingga pukul 10.15 pagi pada keesokan harinya.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh yang juga jiran mangsa didakwa turut melakukan perbuatan sama terhadap anak mangsa, Amirul Ayman Yusoff, 10, di lokasi, tarikh dan waktu yang sama.
Polis rungkai kes pembunuhan ustazah
SEREMBAN – Suspek kes pembunuhan seorang ustazah bersama anaknya di Port Dickson, 3 September lalu dipercayai memasuki rumah mangsa dengan memberi alasan kunci rumahnya tertinggal sebagai strategi menyamun mangsa.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata, suspek yang juga jiran mangsa menggunakan strategi itu bagi membolehkannya memasuki rumah mangsa melalui bahagian dapur.
“Mangsa membenarkan suspek memasuki rumah dan kemudiannya suspek terus mencederakan serta mengikat mangsa bersama anaknya.
“Suspek kemudiannya membawa kedua-dua mangsa ke bilik air. Kedua-dua tangan dan kaki mereka diikat menggunakan tali, sementara mulut ditutup dengan pita pelekat serta dibalut kain sarung,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), dekat sini, semalam.
Menurutnya, suspek berumur 34 tahun itu ditahan jam 12.50 tengah hari pada 5 September lalu di rumah neneknya di kawasan Port Dickson.
“Hasil siasatan, polis mendapati tujuan utama suspek adalah mahu menyamun mangsa berikutan masalah kewangan yang dihadapi.
“Suspek yang bekerja sebagai pemasang paip gas mengalami masalah kewangan disebabkan bebanan hutang seperti bayaran kereta, rumah dan lain-lain,” katanya.
Osman berkata, polis turut menemui barang yang dicuri suspek, dipercayai milik mangsa.
“Barang yang dirampas daripada suspek adalah sebuah komputer riba, sebuah permainan video, tiga telefon bimbit, dua utas rantai tangan serta seutas rantai leher bersama loket.
“Sementara wang tunai mangsa yang dicuri berjumlah RM1,300 dan hasil gadaian barang kemas pula bernilai RM2,200 telah dimasukkan ke dalam akaun milik suspek untuk membayar hutangnya,” katanya.
No comments:
Post a Comment