Pengalaman skrin sentuh kreatif
ANTARA elemen sofistikated yang semakin banyak ditampilkan pada gajet telefon bimbit pintar hari ini adalah binaan skrin sesentuh moden.
Selain kelihatan ringkas dan bergaya, fungsi tersebut juga menawarkan pengguna kemudahan mengakses pelbagai operasi pada peranti mudah alih mereka.
Mengetengahkan kelebihan itu, syarikat peneraju inovasi komunikasi mobiliti, LG Electronics (LG) baru-baru ini telah memperkenalkan tiga model telefon bimbit terkini yang menampilkan fungsi skrin sentuh lebih seronok dan kreatif.
Model tersebut adalah LG Cookie3G (LG KM555), LG Cookie Plus (LG GS500) dan LG Cookie Fresh (LG GS290).
Ketiga-tiga model dalam rangkaian jenama Cookie itu disempurnakan bersama beberapa kelebihan seperti paparan grafik termaju, aplikasi mobiliti terkini dan pengalaman rangkaian sosial terbaik.
Untuk aktiviti rangkaian sosial, model-model berkenaan dilengkapi aplikasi pintar Social Network Service (SNS) yang menawarkan visual interaktif dalam talian lebih dinamik.
Tidak cukup dengan itu, ia turut menampilkan paparan antara muka pengguna yang lebih unik dan bergaya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LG Electronics (Malaysia) Sdn. Bhd., Jeff Cheh, penampilan model-model tersebut bakal melengkapkan usaha syarikat itu untuk memberi keseronokan hiburan dan komunikasi di kalangan penggunanya.
"Spesifikasi pada model-model ini dibangunkan sesuai untuk pelbagai peringkat pengguna.
"Walau bagaimanapun, ia masih mengekalkan identiti dan ciri-ciri asal rangkaian telefon bimbit Cookie,'' katanya.
LG Cookie3G, LG Cookie Plus dan LG Cookie Fresh kini boleh diperolehi di pasaran dengan tawaran harga masing-masing RM799, RM699, dan RM499.
No comments:
Post a Comment