Pelajar tingkatan 4 SMK Sultanah Bahiyah cedera dipukul perompak
August 26, 2010
ALOR SETAR, 26 Ogos — Seorang pelajar tingkatan empat cedera di kepala dan muka akibat dipukul dengan pemotong besi apabila dia cuba melawan dua perompak yang memasuki rumahnya di kampung Tanjung Musang, jalan Langgar dekat sini awal hari ini.
Nurzaimah Muhd Zahir, 16, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Bahiyah di sini, turut ditumbuk di mulut kerana enggan menyerahkan telefon bimbitnya kepada perompak berkenaan.
Ayahnya, Muhd Zahir Taib, 47, yang bekerja sendiri berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 3.30 pagi ketika mereka sekeluarga sedang tidur di bilik masing-masing.
Beliau berkata dua perompak bersenjatakan pemotong besi dan pisau itu menggeledah rumahnya dan melarikan barangan kemas, telefon bimbit serta wang tunai yang keseluruhanya bernilai lebih RM30,000.
“Perompak bertopeng tu masuk ikut pintu depan, kemudian masuk dalam bilik ibu saya dulu sebelum ambil anak perempuan dan bawa mereka ke bilik saya di bahagian belakang.
“Mereka himpun kami setempat dan ikat kami dengan wayar elektrik dan mengugut akan membunuh kami jika melawan atau buat bising,” kata Muhd Zahir kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Muhd Zahir berkata selain Nurzaimah, ibunya Mariam Abdullah, 76, isteri Siti Zauyah Arshad, 48, dan seorang anak lelakinya berusia 13 tahun turut berada dalam rumah berkenaan.
“Anggota keluarga yang lain tidak cedera, Nurzaimah pula kelihatan masih trauma dan masih tidak keluar bilik,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Abdul Ghafar Rajab mengesahkan kejadian itu dan berkata polis menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 5 pagi ini. — Bernama
No comments:
Post a Comment