Sunday, October 31, 2010

Menunggu Masa Runtuh ( 4 CERIA )

Lokasi : Tingkatan 4 Ceria
Masa : 12 Tengah Hari
Keadaan Cuaca : Hujan tanpa henti
Keadaan Kelas: Terkawal dan senyap ( pelajar tido tak boleh jawab exam b. inggeris )

Laporan ini dibuat bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak...harap=harap pihak tertentu dapat mengambil tindakan yang sewajarnya sebelum kemalangan buruk berlaku...Lihat lah sendiri situasi pelajar-pelajar 4 Ceria...


bocor merata rata
 Kondusif kah kelas sebegini?

 Limpahan Air Hujan Yang Merenjis laluan masuk kelas

 Keadaa kelas yang basah
 Siling yang ditimpa air hujan
 siling yang telah pecah akibat kebocoran,adakah kayu alang masil kuat
 Kebocoran yang baru


BUMI MANA TAK DITIMPA HUJAN

Salam semua. Nampaknya musim tengkujuh baru saja bermula. Kemaren hujan turun mulai tengahari, tah henti-henti sehinggalah ke malam dan pagi ini.

Hujan juga adalah rahmat dari Allah SWT kepada makluknya sama ada dari jenis yang hidup, tumbuh-tumbuhan maupun yang tidak bernyawa.

Bagi manusia yang selalu mensyukuri rahmat Allah, apa jua cuaca, sama ada hujan, panas, kemarau atau dingin semuanya diterima dengan rasa penuh tawaduk. Sekiranya sesuatu itu memberi kebaikan, nescaya itu adalah ganjaran yang baik. Tetapi sekiranya itu sebagai satu keburukan atau bencana, maka banyaklah bermuhasabah diri sendiri andai kata kita kadangkala keterlanjuran dari pada mengingati Allah SWT.

Wednesday, October 20, 2010

Aidilfitri SMKL











Bulan Syawal berlalu sudah.. Namun, setiap peristiwa yang berlaku dijadikan sebagai suatu kenangan dan akan menjadi pemangkin untuk meneruskan semangat gotong-royong dan kerjasama yang terjalin di antara guru-guru di SMKL.

Saksikanlah dan nilailah sendiri gambar-gambar yang di ambil pada hari Jumaat bertarikh 24 September 2010 bertempat di Bengkel MPV.
Terima kasih kepada Cikgu Mohd Riduwan B Nor kerana sudi memberikan ruang untuk memasak gulai daging batang pisang. Tidak dilupakan juga guru-guru yang sudi meluangkan masa melakukan kerja-kerja dapur terutama sekali Cikgu Zaleha Nachar dan juga wakil PIBG.

Monday, October 18, 2010

Penyamun ‘budiman’ toreh guru

KULIM - Malang sungguh nasib cikgu ini. Ketika melalui jalan di hadapan kilang Inokom di Padang Meha, dekat sini, kira-kira jam 10.40 malam semalam, dia yang berkereta didekati dua lelaki bermotosikal yang memberitahu pintu keretanya tidak ditutup rapat.

Berikutan itu, guru lelaki yang berusia 30an ini lantas berhenti untuk memeriksa pintu berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Chin Su Song berkata, apabila guru itu berhenti, dua lelaki yang pada mulanya disangka budiman itu pantas menghampirinya dan terus meluru masuk ke dalam ke dalam kereta mangsa.

“Dua penjenayah itu yang bersenjata pisau mengugut mangsa supaya menyerahkan wang jika tidak mahu dicederakan,” katanya.

Ugutan dua penjenayah ‘budiman’ itu bagaimanapun ternyata tidak menggentarkan cikgu berkenaan.

“Dia berkeras tidak mahu mengikut kehendak mereka, menyebabkan mereka naik berang lalu menoreh dada dan tangan kirinya,” kata Su Song.

Pegawai kanan polis itu berkata, selepas mencederakan mangsa, kedua-dua lelaki berkenaan terus melarikan diri tanpa mendapat sesenpun wang samun.

Mangsa yang dalam keadaan cedera terus memandu kereta ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Su Song berkata, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun dan mendatangkan kecederaan.
“Polis mengharapkan kerjasama orang ramai untuk memberikan maklumat mengenai kejadian itu,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai terutama yang memandu seorang diri supaya mengelak daripada berhenti di tempat gelap dan sunyi bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Selain itu, kita harus curiga kepada orang tidak dikenali yang berpura-pura budiman,” katanya.

Wednesday, October 13, 2010

Guru meradang maklumat peribadi didedahkan

Guru meradang maklumat peribadi didedahkan

October 13, 2010

KUALA LUMPUR, 13 Okt – Beratus-ratus guru di Selangor meradang apabila maklumat peribadi dan sulit mereka didedahkan kepada umum oleh Jabatan Pendidikan.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang mewakili guru berkenaan, bimbang dengan perkembangan itu kerana ia adalah tidak beretika dan jelas sekali melanggar kod profesion perguruan.

Setiausaha Agungnya Lok Yim Pheng memberitahu Bernama beliau berharap Kementerian Pendidikan akan menghentikan tindakan itu secepat mungkin.

Beliau menjelaskan masalah itu timbul selepas Pejabat Pendidikan Negeri Selangor mengedarkan pekeliling pada 25 Mei, mengarahkan semua sekolah mengutip yuran dari guru untuk Persatuan Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan (PSKPP).

Surat ingatan kedua dikeluarkan pada 21 Julai, kata Lok.

Beliau berkata apa yang menjengkelkan guru tersebut apabila salah sebuah daerah di Selangor, Pejabat Pendidikan Daerah Petaling Perdana telah bertindak keterlaluan apabila mengumpulkan senarai guru yang mempunyai tunggakan.

Senarai itu mengandungi nama, kad pengenalan, gaji, nombor telefon dan tunggakan bagi setiap guru, telah disebar secara meluas di semua sekolah.

“Ini jelas telah melanggar etika profesion perguruan dan kita menuntut Kementerian Pendidikan menjalankan siasatan berhubung tindakan tersebut,” tambah beliau lagi.

Yuran PSKPP adalah RM3 setahun bagi guru yang berpendapatan kurang dari RM1,000 sebulan dan RM5 setahun bagi guru yang berpendapatan lebih daripada RM1,000 sebulan, katanya.

Lok berkata sepanjang pengetahuan kesatuan itu, keanggotaan PSKPP tidak diwajibkan.

“Tetapi tindakan yang dilakukan oleh jabatan pendidikan untuk mengumpulkan yuran itu menunjukkan ia adalah wajib bagi semua guru menjadi ahli,” katanya.

Ini menunjukkan sekali lagi bertentangan dengan prinsip keadilan, tambahnya. – Bernama

Lantai sekolah runtuh, 10 murid SK Sri Gunong cedera

Lantai sekolah runtuh, 10 murid di Keriang cedera
Okt 13, 10 3:59pm

Seramai 10 orang murid Darjah Empat Sekolah Kebangsaan Sri Gunong di Gunung Keriang dekat Alor Setar cedera dengan dua daripadanya serius selepas lantai bangunan sekolah yang menempatkan kelas mereka runtuh pagi tadi.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 11 pagi itu melibatkan 30 murid yang sedang mengikuti kelas Pendidikan Islam.

Lantai dikatakan runtuh secara tiba-tiba dan murid yang berada di dalam kelas itu terjatuh ke dalam lubang sedalam satu meter dan selebar dua meter persegi.

Lima murid lelaki dan lima murid perempuan itu dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini bagi mendapatkan rawatan, oleh pihak sekolah dan ibu bapa yang kebetulan berada di situ.

Salah seorang murid berkenaan, Mohd Aliff Hakim Abu Bakar berkata ketika kejadian, secara tiba-tiba lantai kelasnya reput (patah) menyebabkan dia terjatuh ke dalam lubang runtuhan itu.


Merangkak keluar

"Saya merangkak keluar dan ustazah tarik saya keluar. Saya terkejut. Saya cedera kaki kanan," katanya ketika ditemui di HSB.

Filza Nadhirah Idris yang juga cedera di kaki kanan berkata sewaktu kejadian dia merasakan kelas itu bergoyang-goyang sebelum dia terjatuh ke bawah.

"Saya jatuh tertiarap. Lutut kanan saya cedera. Saya kemudian menangis. Cikgu angkat saya," katanya yang kelihatan trauma dengan kejadian itu.

Seorang saksi kejadian, Ali Mohammad, 49, berkata keseluruhan bangunan termasuk lantai yang dibina sekitar tahun 1970-an itu dipercayai pada asalnya diperbuat daripada kayu dan telah diubah suai oleh pihak sekolah lapan tahun lalu dan digantikan dengan lantai simen tanpa mempunyai konkrit yang kukuh.

"Mungkin kayu yang diletakkan simen di atasnya tanpa konkrit yang kuat tidak mampu menanggung pelbagai bebanan seperti meja, kerusi dan peralatan tambahan kelas menyebabkan berlaku runtuhan berkenaan," katanya.

Pemangku Pegawai Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Alor Setar, Md Noor Daud berkata pihaknya menerima panggilan daripada pihak sekolah mengenai kejadian tersebut kira-kira 11.22 pagi dan mengejarkan 17 anggota dari balai Alor Setar dan Jalan Raja ke tempat kejadian.

Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah Zuraidi Rahim yang melawat murid-murid di HSB berkata, beliau dimaklumkan oleh pihak hospital bahawa lapan pelajar menerima rawatan pesakit luar manakala dua lagi agak serius kerana kaki mereka dihempap batu dan almari.

"Dua pelajar ini mungkin terpaksa ditahan di hospital untuk rawatan lanjut. Saya harap ada siasatan segera terhadap kejadian ini kerana ada yang tidak kena dengan lantai bangunan sekolah," katanya.

- Bernama

Sunday, October 10, 2010

Enam pelajar Sekolah Agama Kuala Terengganu diserang histeria

Enam pelajar Sekolah Agama Kuala Terengganu diserang histeria

October 10, 2010
Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malik, Kuala Terengganu ditenangkan oleh guru dan pelajar lain setelah diserang histeria di sekolah itu hari ini. - Foto Bernama
KUALA TERENGGANU, 10 Okt — Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malik di sini kecoh apabila enam pelajar perempuannya diserang histeria selepas acara perhimpunan pagi tadi. Lima daripada pelajar terbabit merupakan pelajar Tingkatan Lima manakala seorang lagi adalah pelajar Tingkatan Dua yang sebelum ini telahpun terkena histeria pada Khamis lepas.
Difahamkan, pada Khamis lepas, dua pelajar perempuan Tingkatan Dua sekolah itu terkena histeria dan diarahkan dibawa pulang, namun kejadian sekali lagi berulang hari ini apabila seorang pelajar yang sama kembali terkena gangguan itu sebelum merebak kepada lima pelajar Tingkatan Lima.
Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Razali Daud berkata, sekumpulan ustaz dari Darul Syifa telah dipanggil untuk membantu memulihkan keadaan pelajar terbabit selain usaha membaca surah Yasin yang dilakukan guru-guru dan pelajar sekolah berkenaan.
“Keadaan terkawal dan setakat petang ini hanya tinggal seorang pelajar perempuan yang masih belum pulih sepenuhnya dan kita telahpun membenarkan mereka dibawa pulang oleh keluarga masing-masing,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Katanya, pelajar yang terlibat dibenarkan bercuti sehingga keadaan masing-masing kembali pulih.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas sama ada kejadian berpunca daripada gangguan makhluk halus atau tekanan yang dihadapi oleh pelajar-pelajar berkenaan.
Sementara itu semasa tinjaun dilakukan kedengaran bacaan Yasin dari salah sebuah bilik darjah di mana seorang pelajar perempuan yang masih pulih daripada gangguan itu ditempatkan.
Pelajar terbabit yang merupakan salah seorang pelajar harapan sekolah untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia nanti kemudian kelihatan dibawa pulang oleh ahli keluarganya kira-kira 2.30 petang. — Bernama

Friday, October 8, 2010

PMR dihapuskan pada 2016

UPSR dikekalkan, PMR diganti penilaian sekolah
Okt 9, 10 2:01pm
Kongsi 0
Peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan dikekalkan tetapi dengan sukatan pelajaran baru, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, ketika mengumumkan keputusan kerajaan itu, beliau yang juga adalah menteri pelajaran berkata peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) akan dimansuhkan dan diganti dengan penilaian peringkat sekolah bermula 2016.

Katanya, satu jawatankuasa penilaian telah dibentuk bagi mengkaji persekitaran semasa PMR dan mendapati penilaian peringkat sekolah lebih sesuai dan menjadi pilihan ramai.

Mengenai UPSR, Muhyiddin berkata format peperiksaan berkenaan akan dikekalkan tetapi perubahaan akan dilakukan ke atas sukatan pelajaran bagi memperbaiki keberkesannya.

Bekas guru saman kerajaan

Bekas guru saman kerajaan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini semalam menetapkan 4 November untuk keputusan kes saman seorang guru terhadap Jabatan Perkhidmatan Awam dan kerajaan Malaysia kerana didakwa melakukan diskriminasi dengan memerintahkan dia dibuang kerja enam tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd. Zawawi Salleh membuat keputusan itu dalam kamarnya selepas mendengar hujahan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan dan peguam Mohamed Hanipa Maidin yang mewakili Abdul Razak Baharudin.

Pada 4 Disember tahun lalu, Abdul Razak (gambar), 51, yang pernah bertugas di Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun, Klang, Selangor memohon deklarasi bahawa kedua-dua defendan telah melakukan diskriminasi yang bercanggah dengan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan apabila memerintahkan dia dibuang kerja berkuat kuasa 7 September 2004 mengikut peraturan 38(g) Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan Tatatertib) 1993.

Dia juga memohon deklarasi bahawa kedua-dua defendan sewajarnya memerintahkan dia ditamatkan perkhidmatan menurut Peraturan 49(3) Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan Tatatertib) 1993 dan seterusnya dibersarakan mengikut seksyen 10(5) Akta Pencen 1980.

Selain itu, Abdul Razak memohon dia dibayar faedah persaraan dan bayaran pencen ke atas khidmatnya.

Wanita tersilap gam mata

Wanita tersilap gam mata

IRMGARD HOLM

PHOENIX, Amerika Syarikat (AS) - Seorang wanita terpaksa dirawat di sebuah hospital baru-baru ini selepas sebelah matanya melekat gara-gara dia menitikkan cecair gam kuat yang disangka ubat mata.

Stesen televisyen tempatan, KSAZ-TV melaporkan mangsa, Irmgard Holm yang berasal dari negeri Arizona pernah menjalani pembedahan membuang katarak setahun lalu.

Matanya melekat selepas Holm menyangka satu botol gam sebagai ubat matanya.

Dia kemudian terus menitis gam itu ke dalam matanya.

Wanita itu kemudian rasa sakit selepas menggunakan cecair gam tersebut menyebabkan dia sedar ada sesuatu yang tidak kena.

Menurutnya, dia tersilap kerana botol yang menyimpan gam dan ubat mata itu nampak hampir serupa.

Holm kemudian cuba membasuh matanya dengan air tetapi kelopak matanya tertutup rapat kerana kekuatan gam itu.

Petugas-petugas sebuah hospital terpaksa memotong lapisan gam tersebut sebelum beberapa doktor mencuci matanya untuk mengelakkan kerosakan. - AP

Tukar sekolah - amaran bagi guru edar risalah ubat seks

Tukar sekolah - amaran bagi guru edar risalah ubat seks
Okt 8, 10 1:55pm
Kongsi 24
Isu displin yang membabitkan pelajar dan guru-guru di sekolah-sekolah di seluruh negara akan sentiasa dipantau kerana iai melibatkan soal integriti pendidikan di Malaysia, kata Timbalan Menteri Pelajaran Mohd Puad Zarkashi.

Sehubungan itu, menurutnya tindakan menukar seorang guru displin sebuah sekolah di Skudai, Johor yang didapati bersalah kerana mengedarkan risalah ubat perangsang seks kepada pelajarnya itu adalah sebagai amaran keras.

Katanya, walaupun ini kesalahan pertama guru berkenaan, namun beliau tetap dihukum dan menjanjikan tindakan lebih tegas sekiranya guru terbabit mengulangi perbuatannya itu.

"Kementerian tegas dalam masalah displin. Kementerian tidak akan bertolak ansur dalam kes-kes seperti ini. Kalau ada laporan yang dibuat oleh ibu bapa (tentang isu displin), kita tidak akan bertolak ansur.

"Kementerian sentiasa memantau isu displin yang membabitkan pelajar dan guru-guru kerana ini melibatkan soal integriti pendidikan di Malaysia sebenarnya," katanya dalam satu sidang media di ibu negara pagi ini.

Puad berkata demikian selepas merasmikan majlis penutupan Kerjasama Malaysia-Australia untuk projek Pendidikan Afghanistan di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) di Lembah Pantai, Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, seorang guru displin dilaporkan ditukar ke sekolah menengah lain di Johor Bahru baru-baru ini setelah didakwa mengedarkan risalah ubat perangsang seks di sekolahnya.

Pengarah Jabatan Pelajaran Johor Sufaat Tumin dipetik berkata tindakan menukar guru displin itu dibuat selepas siasatan selesai pada bulan lalu dan hasil aduan tersebut dimajukan kepada kementerian.

Perkara ini timbul berikutan aduan yang dibuat oleh seorang daripada bapa pelajar di sekolah itu yang menjumpai risalah ubat perangsang seks dalam buku sekolah anaknya dua minggu lalu.

Mengulas lanjut, Puad yang juga ahli parlimen Batu Pahat turut menegaskan tindakan guru displin itu adalah "tidak bertanggungjawab dari segi etika dan salah dari segi moral".

Sehubungan itu, dalam kes ini kementerian turut mengarahkan Jabatan Pelajaran Johor memantau dan menyiasat supaya perkara ini tidak akan berulang.

Thursday, October 7, 2010

Kera baham bayi

Seret bayi keluar rumah
Oleh Mohd Nur Asnawi Daud dan Iskandar Shah Mohamed

2010/10/07

SEREMBAN: “Selepas mendapati cucu saya tiada di ruang tamu, kami mencarinya sehingga ke luar rumah dan terkejut melihat kesan darah di depan tangga sebelum menemuinya dalam keadaan terkulai layu dengan kecederaan di kepala, leher dan telinga,” kata A Velayutham, 75.

MATI...kera liar yang dipercayai menyebabkan kematian bayi perempuan ditembak Perhilitan.

Dia menceritakan kejadian cucu perempuannya berusia empat hari yang menemui ajal dalam keadaan menyayat hati selepas digigit kera jantan liar di rumahnya di Taman Happy di sini, kira-kira jam 1.15 tengah hari semalam.

Sebelum kejadian, bayi malang yang belum diberi nama itu berada bersama Velayutham di ruang tamu rumahnya selepas dimandikan sebelum warga emas itu pergi ke dapur untuk minum.

Ketika itulah kera yang tidak dapat dipastikan jumlahnya menceroboh masuk ke dalam rumah lalu menyeret mangsa ke luar serta menggigitnya sehingga cedera.

“Saya meninggalkannya bersendirian sekejap dan pergi ke dapur untuk minum air kerana terlalu dahaga. Ketika itu isteri saya berada di dapur kerana memasak, manakala menantu (ibu mangsa) mandi di bilik air.

“Saya terdengar jeritan menantu bertanya di mana bayinya menyebabkan saya dan isteri bergegas ke luar,” kata Velayutham ketika ditemui di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), di sini.

Velayutham berkata, bayi sulung anak lelakinya yang mendirikan rumah tangga sejak setahun lalu itu kemudian dikejarkan ke HTJS, namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba.

Difahamkan, mangsa yang dilahirkan pada 3 Oktober lalu di HTJS adalah anak kepada pasangan V Nehru, 30, dan isterinya yang dikenali sebagai Revathy, 26.

Wednesday, October 6, 2010

Gadis 'ghaib' SMS dari kubur

Gadis 'ghaib' SMS dari kubur


JERTIH: "Ibu cepatlah datang segera ke kubur, Siti takut tiada orang lain di sini." Itulah khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar Siti Balqis Mohd Nor, gadis yang mendakwa sering ghaib dari rumah selepas tiba-tiba menyedari berada di perkuburan Kampung Bukit Kenak, kira-kira lima kilometer dari rumahnya tiga hari sebelum Aidilfitri lalu.

Siti Balqis (atas), 22, yang menghadapi gangguan misteri sejak dua bulan lalu menyebabkannya sering ghaib dari rumahnya di Kampung Gong Nangka, Apal, di sini mendakwa ketika itu telefon bimbit yang ada bersamanya menunjukkan jam 2 pagi.
“Namun, saya tidak tahu bagaimana boleh berada di tanah perkuburan dan lebih dahsyat saya berada di dua tanah perkuburan pada malam itu.

Selepas tersedar berada di kubur Kampung Bukit Kenak, saya tiba-tiba berada pula di kubur Kampung Gong Rengas, kira-kira 10 kilometer dari rumah kami,” katanya ketika ditemui semalam.

Siti Balqis mendakwa hanya mengetahui kisah kubur berkenaan apabila dibawa semula ke kawasan berkenaan, tetapi hingga kini tidak tahu siapa yang membawanya, apa yang dilihat dan dilakukannya sepanjang lima hingga enam jam berada ‘di alam ghaib’.

Namun, Siti Balqis mendakwa sepanjang di tanah perkuburan itu, dia mendengar orang menangis, meminta tolong dan mengaji al-Quran.

Sementara itu, ibunya, Norizan Said, 47, berkata, pada malam mendapat SMS Siti Balqis, beliau bersama suami serta seorang lagi anaknya bergegas ke kubur berkenaan, tetapi selepas puas mencari, mereka tidak menemuinya.

“Kami bergegas pula ke kubur di Kampung Gong Rengas dan di satu kubur baru, ada bekas seperti diduduki seseorang, tetapi Siti tiada di situ,” katanya dan menambah mereka kemudian ke Balai Polis Jertih pada jam 5 pagi untuk membuat laporan.

Bagaimanapun, sejurus masuk ke rumah kira-kira jam 6 pagi, Siti muncul di depan rumah dengan tubuhnya dibasahi air dan baju berlumuran tanah merah.

Kisah Siti Balqis menggemparkan penduduk daerah ini hinggakan ramai yang sukarela membantu berjaga bersama keluarganya selepas anak sulung empat beradik itu dikatakan ghaib ke pelbagai tempat termasuk siling rumah, atas pokok, dalam mesin pembancuh simen dan atas kubur.

Siti Balqis juga mendakwa dia luka pada tangan dan kaki ketika berada di sebuah mesin pembancuh simen tidak jauh dari rumah dan ketika di atas pokok manggis, di belakang rumahnya.

Dia juga mendakwa ternampak saudara mara dan orang kampung mencarinya, malah ketika berada di sebuah rumah tinggal, dia menyentuh bapa saudaranya tetapi tidak perasan kehadirannya.

Malam tadi, Norizan menggunakan khidmat tujuh bomoh untuk mengubati anaknya secara tradisional dan wakil Berita Harian turut berada di rumah Siti Balqis bagi meninjau dan memastikan dakwaan dia ghaib.

Sementara itu, kalangan ahli agama di negeri ini berpendapat kejadian itu mungkin disebabkan gangguan jin yang cuba merosak keimanan manusia dan cara terbaik mengatasinya ialah amalan zikir dan membaca al-Quran serta solat hajat dan tahajud.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Muhammad Ramli Nuh, berkata kejadian adalah luar biasa tetapi perlu dilihat secara positif dari sudut agama.

Muhammad Ramli berkata, cara terbaik mengatasinya ialah ahli keluarga Siti Balqis sentiasa berdoa kepada Allah meminta dilindungi daripada perbuatan sihir dan diganggu syaitan.

Timbalan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Negeri (Operasi), Omar Musa, pula berkata apa yang dialami Siti Balqis itu mungkin ada kaitan dengan gangguan makhluk halus.

Katanya, keluarga mangsa hendaklah bersabar dan mendapatkan rawatan alternatif perubatan Islam bagi membolehkannya tidak lagi diganggu oleh makhluk halus.

“Tetapi, perlu diingatkan jangan sekali-kali beranggapan apa yang terjadi terhadap Siti Balqis ada kaitan dengan keramat kerana ada makhluk jin yang mahu merosakkan dan menyesatkan pemikiran dan akidah orang Islam,” katanya.

Tuesday, October 5, 2010

PMR: Nik Aziz ucap selamat berjaya

PMR: Nik Aziz ucap selamat berjaya
Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 5 Okt: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengucapkan selamat berjaya kepada para pelajar yang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang bermula hari ini.

“Kepada anak-anak kita yang sedang menduduki peperiksaan PMR bermula hari ini, saya ucapkan selamat berjaya dan semoga mendapat kejayaan yang cemerlang.
“Paling penting, kejayaan yg sebenar ialah selamat dari api neraka dan berjaya mendapat syurga Allah SWT di akhirat kelak,” ujarnya yang juga Menteri Besar Kelantan di laman twitter.
Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) semalam, seramai 479,675 calon menduduki peperiksaan PMR mulai hari ini hingga 12 Oktober.

Daripada jumlah tersebut, 446,896 ialah calon dari Sekolah Bantuan Penuh, 5,069 dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Sekolah Perantis Tentera.

Sebanyak 11,370 calon adalah dari sekolah agama tadbiran negeri, 14,756 calon sekolah swasta, 334 calon persendirian perseorangan dan 1,250 calon dari Sekolah Agama Rakyat.

Sebanyak 34,022 orang petugas di 3,499 pusat peperiksaan disediakan bagi menguruskan perjalanan PMR.

Monday, October 4, 2010

Tiada anugerah cemerlang untuk si perokok


Tiada anugerah cemerlang untuk si perokok

Oleh AHMAD SYAHIR KASSIM
syahir.kassim@kosmo.com.my

WARGA kerja Jabatan Kesihatan Kedah yang merokok tidak akan dipertimbangkan untuk Anugerah Khidmat Cemerlang.

ALOR SETAR – Mulai tahun ini, Jabatan Kesihatan Kedah telah menetapkan hanya warga kerja jabatan itu yang tidak merokok akan dipertimbangkan untuk Anugerah Khidmat Cemerlang.

Pengarahnya, Dr. Marzukhi Md. Isa (gambar kecil) berkata, biarpun seseorang kakitangan itu bertugas dengan cemerlang tetapi mereka tetap tidak berpeluang untuk menerima anugerah tersebut jika mereka merupakan seorang merokok.

Tegas beliau, langkah itu diambil bagi membasmi tabiat merokok di kalangan warga kerja jabatan itu.

“Ketika ini, terdapat seramai 13,000 kakitangan di Jabatan Kesihatan Kedah dan daripada jumlah itu, 30 peratus adalah perokok dan kita tidak mahu doktor yang sentiasa mengingatkan pesakit tentang bahaya merokok adalah seorang perokok.

“Jadi, kita mengambil inisiatif ini supaya mereka (kakitangan kesihatan) mengurangkan pengambilan rokok dan sekali gus berhenti merokok,” katanya selepas majlis Sambutan Hari Jantung Sedunia peringkat negeri di Hospital Sultanah Bahiyah di sini semalam.

Saturday, October 2, 2010

AKIBAT CIKGU TINGGAL MURID DALAM KELAS

Berita Harian

Kepala dihentak kerusi tegur rakan
Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar

2010/10/03
Pelajar Tingkatan Empat terima 12 jahitan

ALOR SETAR: Gara-gara menegur kerana membuat bising di dalam kelas, seorang pelajar Tingkatan Empat menerima 12 jahitan di kepala akibat dihentak dengan kerusi kayu oleh dua rakan sekelasnya yang berang dengan tindakannya itu.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi di Sekolah Menengah Kebangsaan Hutan Kampung, di sini, Khamis lalu, Mohd Shafiq Abdul Aziz, 16, diserang sehingga jatuh sebelum seorang daripada suspek menghentak kepala mangsa dengan kerusi kayu.
Mangsa yang berlumuran darah dipapah pelajar lain ke pejabat sekolah untuk mendapatkan rawatan sebelum memaklumkan kejadian itu kepada Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM) sekolah berkenaan.
Difahamkan, ketika kejadian, 40 pelajar kelas berkenaan sedang mengikuti subjek Bahasa Melayu dan ia berlaku sejurus guru mangsa keluar sebentar daripada kelas itu kerana mempunyai urusan lain.

Bapa mangsa, Abdul Aziz Shaari, 46, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu pada jam 10.30 pagi oleh PKHEM sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan.

“Sebaik tiba di HSB, guru kelas memberitahu anak saya sedang mendapatkan rawatan dan saya tidak berkesempatan melihat keadaannya. Saya kemudian terus ke sekolah bertemu PKHEM bagi mendapat kepastian mengenai apa yang berlaku.

“Apa yang mengecewakan ketika pertemuan itu PKHEM memberitahu anak saya hanya mengalami cedera ringan dan meminta perkara ini tidak diperbesarkan. Oleh kerana percaya tidak ada perkara serius berlaku, saya pulang ke rumah.
“Bagaimanapun, sejurus anak pulang ke rumah, saya terkejut apabila mendapati kepalanya mendapat 12 jahitan,” katanya yang terus membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar pada petang hari kejadian.

Beliau berkata, sehari selepas kejadian anaknya mula pening, sesak nafas dan muntah-muntah sebelum dirujuk semula ke HSB untuk rawatan.






Harian Metro

12 jahitan di kepala
Oleh MOHAMAD HUSSIN

ALOR SETAR: Akibat menegur pelajar lain yang membuat bising di dalam kelas, seorang pelajar lelaki terpaksa menerima 12 jahitan di kepala selepas dihentak dengan kerusi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Kampung, di sini, Khamis lalu.

Difahamkan, pelajar terbabit yang tidak berpuas hati dengan mangsa terus menolak dan menyepak mangsa dengan kaki di bahagian badan sehingga Mohd Syafiq jatuh terduduk.

Pada masa sama, seorang lagi rakan pelajar itu terus mengambil kerusi lalu menghentak kepala mangsa, menyebabkannya tersungkur.

Sebelum kejadian, guru wanita yang mengajar subjek Bahasa Malaysia masuk ke dalam kelas berkenaan namun keluar sebentar kerana ada urusan lain.

Mohd Syafiq berkata, dia cuma menegur seorang pelajar yang membuat bising sehingga mengganggu keselesaan pelajar lain.

Menurutnya, seorang rakannya terus membawa dia ke pejabat bagi memaklumkan pihak sekolah berhubung kejadian itu.

“Seorang guru membawa saya ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) kerana cedera serius di kepala.

“Saya menerima 12 jahitan dan pemeriksaan mendapati ada pendarahan dalam otak,” katanya yang masih trauma dengan kejadian itu.

Sementara itu, bapa mangsa, Abdul Aziz Shaari, 46, berkata dia terkilan kerana guru sekolah mengajar anaknya berbohong kerana enggan memberitahu kejadian sebenar kepada hospital.

“Guru terbabit berpesan jika pihak hospital bertanya mengenai punca kejadian, beritahu disebabkan jatuh tangga.

“Saya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar pada hari sama kejadian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghaffar Rajab ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan.